130 Tok Batin Sertai Simposium Kepimpinan

Minggu, 09 Februari 2014 0 komentar


BANDAR BARU BANGI – Kira-kira 130 Tok Batin dan penghulu komuniti Orang Asli hari ini menyertai Simposium Kepimpinan Tok Batin/Penghulu Orang Asli peringkat Kebangsaan kali kedua di Institut Latihan Islam Malaysia di sini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan berkata program tiga hari itu bertujuan memberi pendedahan tentang ciri-ciri kepimpinan berteraskan Islam kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Selain itu, ia juga bertujuan memperkenalkan keindahan Islam sebagai cara hidup dan agama rasmi negara yang mudah, praktikal serta universal, di samping berusaha menyampaikan dasar kerajaan serta perbincangan mengenai isu semasa dengan kumpulan Orang Asli.

Majlis perasmian program anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia dan Yayasan Taqwa Majlis Agama islam Wilayah Persekutuan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim Datuk Razali Shahabudin.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menerusi teks ucapan beliau yang diedar kepada wartawan di majlis perasmian program itu berkata kerajaan sentiasa mengambil perhatian serius berkenaan hal ehwal dan kebajikan masyarakat Orang Asli atau saudara baharu.

Menurutnya pihak berkuasa agama seperti Jakim dengan bantuan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam sentiasa memantau dan mengambil langkah menyeluruh dalam memastikan agama Islam yang dianuti saudara baharu ini akan sentiasa subur dan dihayati. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Thia Blog