Empat penyamun menyamar penjawat awam ditahan

Jumat, 20 Desember 2013 0 komentar

Kong Meng (tengah) dan pegawainya menunjukkan vest pihak berkuasa serta gari yang digunakan suspek untuk menyamun warga asing di Jelutong.

GEORGETOWN - [Dikemaskini] Empat lelaki yang menyamar sebagai anggota keselamatan berjaya ditahan kerana menyamun warga asing di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jelutong, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta bahawa dua pekerjanya, warga Myanmar disamun oleh empat lelaki  yang mendakwa anggota polis.

Beliau berkata, dalam laporannya, wanita itu mendakwa dua pekerjanya disamun kumpulan lelaki berkenaan setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis selepas.

Katanya lagi, pintu premis tempat mereka bekerja diketuk empat lelaki berkenaan dan mendakwa mahu membuat pemeriksaan.

“Mereka kemudian menyerbu masuk selepas pintu dibuka dan bertindak menggari kedua-dua warga Myanmar itu. Bagaimanapun, kesemua lelaki berkenaan tidak menunjukkan kad kuasa ketika membuat serbuan.

"Mereka mengambil pelbagai barangan berharga daripada mangsa antaranya 11 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba dan wang tunai. Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kerugian RM3,000,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas laporan diterima, polis berjaya menahan keempat-empat suspek di dua buah rumah.

“Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Dua,Gelugor dan berjaya menahan dua suspek.

"Pelbagai barangan dipercayai barang samun antaranya komputer riba, gari, dua buah walkie talkie, beberapa helai vest pihak berkuasa dan wang tunai RM740 ditemui," katanya kepada media.

Beliau berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Sungai Nibong dan menahan dua lagi suspek.

"Kita percaya dengan tangkapan empat suspek yang aktif sejak dua bulan lalu itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes menyamar dan samun di daerah timur laut,” katanya.

Kong Meng berkata, suspek berusia lingkungan 17 hingga 27 tahun itu kini direman untuk siasatan sehingga 25 Ogos.

“Tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau termasuk suspek berusia 17 tahun yang tidak lagi bersekolah manakala seorang lagi mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota pihak berkuasa yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun dan denda. - Sinar Harian

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Thia Blog