Rahimah masih menunggu

Sabtu, 28 Desember 2013 0 komentar


TANAH MERAH - Kegembiraan seorang warga emas dari Kampung Gual Kubur, di sini, untuk memiliki rumah sendiri tidak kekal lama apabila pihak terbabit terus berdiam diri selepas mengunjunginya hampir dua bulan lalu.

Rahimah Wok, 60, berkata, tempoh itu dirasakan terlalu lama kerana dia sudah menanti bantuan untuk menyiapkan rumahnya yang kini terbengkalai.

“Kalau saya minta bantuan sebuah rumah baharu mungkin ambil masa lama tetapi sekarang, saya cuma nak siapkan rumah yang sudah lima tahun terbengkalai.

“Semua maklumat termasuk gambar rumah saya yang terbengkalai pun mereka sudah ambil tetapi, setelah hampir dua bulan sampai sekarang, tidak ada apa-apa khabar berita,” katanya.

Kisah Rahimah menumpang di rumah usang milik saudara bersama dua cucu berusia 11 dan 13 tahun serta impiannya untuk miliki kediaman sendiri disiarkan akhbar ini, 3 September lalu.

Rumah didiaminya sejak 10 tahun lalu itu tidak selamat kerana banyak lantai reput dan bumbung bocor, malah tidak selesa sebab tiada bilik air sempurna dan bilik tidur.

Bimbangkan keselamatan diri dan cucu, warga emas itu membina sebuah rumah baharu atas tanah milik saudara yang dihadiahkan kepadanya, namun terbengkalai akibat masalah kewangan.

Rumah baharu itu juga perlu disiapkan dahulu sebelum tiga beranak itu boleh menikmati kemudahan air telaga tiub yang disumbangkan Pejabat Kesihatan.

Rahimah berkata, dia perlukan bantuan menyiapkan rumah baharu itu kerana tidak mampu mengeluarkan wang sendiri dengan pendapatan hasil menoreh getah RM300 sebulan.

“Kalau musim hujan seperti sekarang, saya hanya dapat sekitar RM200. Memang tak cukup nak belanja untuk buat rumah sebab selain belanja harian, saya juga kena ulang alik ke hospital kerana sakit kencing manis,” katanya.

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Thia Blog