MB Selangor Tiada Roh Sukan’ – Pemuda PAS

Minggu, 22 Desember 2013 0 komentar


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Selangor membidas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana meminta pemuda PAS Selangor supaya membuat pilihan sama ada mahu mendapat peruntukan besar untuk pembinaan masjid atau pembangunan bola sepak negeri.

Timbalan Ketua DPP Selangor, Mohd. Sany Hamzan berkata, kenyataan Khalid tersebut dibuat tidak mengambil kira hujah DPP Selangor berkenaan kepentingan sukan bola sepak sebagai sukan teras yang menjadi kegemaran majoriti rakyat Selangor.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Besar tersebut turut menyifatkan Khalid telah terlalu lama dikelilingi oleh ‘roh simpanan tetap berbilion-bilion (ringgit)’ hingga hilang perasaan terhadap ‘roh sukan’ yang dijiwai segenap rakyat negeri itu.

“DPP Selangor berasa terkilan dengan kenyataan itu. Cabaran meminta Pemuda PAS Selangor memilih sama ada untuk menggalakkan bolasepak atau membina masjid sebagai tidak adil kerana kedua-duanya adalah perkara berbeza.

“Keperluan masjid sememangnya diperlukan untuk perkembangan agama dan kerohanian rakyat Selangor manakala sukan bola sepak adalah salah satu acara sukan yang boleh membina kesihatan fizikal dan sebagai alat perpaduan rakyat Selangor terutam dalam kalangan generasi muda,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Sany berkata, DPP Selangor meminta kerajaan Selangor membuat pertimbangan yang wajar terhadap isu bola sepak Selangor sebagai kesinambungan pemerkasaan agenda sukan bola sepak negeri itu.

Beliau turut meminta Menteri Besar Selangor selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Selangor (FAS) merombak semula kepimpinan FAS dan menggantikan dengan muka baharu yang lebih progresif dan efisien untuk menyelamatkan maruah pasukan “The Red Giants”.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan FAS juga diminta menarik penaja-penaja baharu yang boleh membantu untuk mengembalikan kegemilangan skuad bola sepak Selangor.

“DPP Selangor berharap sebagaimana Tan Sri bijak memerintah Selangor begitulah kebijakan yang diharapkan terhadap beliau ddalam memimpin FAS dan skuad bola sepak negeri,” katanya lagi.

Menteri Besar Selangor semalam meminta DPP Selangor membuat pilihan antara “masjid atau bola” berikutan kritikan yang dilemparkan oleh DPP Selangor berhubunga kekurangan penajaan sukan bola sepak negeri oleh syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI).

Mynewshub.my semalam malaporkan Mohd. Sany menggesa MBI memberi penajaan yang lebih besar kepada pasukan bola sepak Selangor bagi memastikan beberapa tunggak utama pasukan tersebut tidak dirampas oleh pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Beliau dipetik berkata, desas-desus pasukan Selangor terpaksa melepaskan beberapa pemain utama pasukan itu untuk menyertai JDT ekoran penajaan yang tidak mencukupi untuk musim akan datang sebagai episod sedih dan malang bagi perkembangan bola sepak negeri.

“Kegagalan pihak penaja terutama MBI untuk menyalurkan penajaan yang lebih baik akan menyebabkan pemain berbakat Selangor berhijrah kepada pasukan yang akan menawarkan imbuhan lebih tinggi sehingga menyebabkan pasukan Selangor yang pernah menjadi gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu menjadi lesu dan tidak bermaya pada masa akan datang,’ kata Mohd. Sany.

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 Thia Blog